Tuesday, August 5, 2008

SUBSIDI.......LU FIKIRLAH SENDIRI(pinjam versi Raja Lawak??)

Subsidi?.....Suatu ungkapan yang enak didengar namun hakikatnya telah melekakan segelintir manusia yang menikmatinya. Ia adalah satu bentuk kemudahan yang secara prinsipnya adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih untuk menguruskan negara.
Kerajaan?..... Entiti yang dipilih rakyat untuk menguruskan negara, malah secara langsungnya menguruskan kehidupan kita. Pengurusan negara ini juga termasuklah hasil dana, rizab harta dan apa juga yang mendatangkan keuntungan dan pendapatan untuk negara.

Keuntungan negara bukan bermaksud keuntungan kerajaan, ia adalah keuntungan dan hak rakyat.
Namun demikian, hak tersebut dipertanggungjawabkan kepada kerajaan untuk diuruskan dengan cara paling bijak, berhemah dan bertanggungjawab. Bertanggungjawab pula....bukan bermakna semua dana ini dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk subsidi, tetapi menguruskan kewangan dan subsidi tersebut agar ia sampai kepada semua lapisan rakyat Malaysia dengan adil dan saksama.

Sekiranya subsidi dihapuskan????mungkin sudah ramai yang merana kerana tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital, mungkin ada juga yang terpaksa berbasikal dan berjalan kaki ke tempat kerja, atau Malaysia akan masih menjadi sebuah negara mundur kerana rakyatnya tidak mampu mendapatkan pendidikan yang sempurna. Pertanian juga sudah lama lumpuh dan lesu, malah ada yang menyatakan tidak akan wujud kemajuan dalam ekonomi kapitalis tanpa subsidi..benar kah???

Setakat mana keperluan subsidi?... Ia sudah tentunya bergantung kepada situasi dan keadaan semasa. Teorinya mungkin boleh dipermudahkan dalam hubungan keluarga.
Ketika pendapatan ayah dengan anaknya 1:1, perbelanjaan sekolah anak RM2 sehari, tetapi bila bertambahnya adik beradik, ia perlu dikurangkan mungkin menjadi RM1 sehari. Pola dan persekitaran ini juga mungkin berubah bila si ayah berjaya mendapatkan pendapatan lebih tinggi.
Namun bukan semua laba pendapatan tersebut wajar disalurkan kepada perbelanjaan sekolah anak-anak. Perlu ada simpanan dan juga perbelanjaan tambahan untuk keperluan lain.

Membayar RM56 billion setahun untuk mengekalkan harga petrol pada RM1.92 seliter adalah contoh di mana kerajaan nampak sangat terbeban. Malah, ketika kenaikan harga minyak melebihi USD146 setong, kemuncaknya sudah jelas sampai ke klimaks. Jika subsidi diberikan terus-menerus, maka dana negara akan berkurangan. Petronas yang menyuntik satu per tiga dari pendapatan negara lambat laun akan tenat. Penstrukturan perlu dilakukan demi menyediakan diri menghadapi entah apa lagi ancaman ekonomi untuk jangkamasa panjang.

Mengurangkan subsidi bahan bakar ini menyebabkan harga per liter menjadi RM2.70. sesuatu yang sukar diterima ramai. Namun hakikatnya kerajaan masih lagi menanggung beban lebih RM1.00 bagi setiap liter yang dipam masuk ke sebuah Kancil atau Mercedes. Penjimatan dari penarikan subsidi ini pula mampu diagihkan kepada pelan pembangunan yang lebih berfaedah seperti kesihatan, makanan dan pendidikan.

Subsidi dalam bentuk pendidikan sebenarnya merupakan saluran terbaik untuk kemajuan modal insan. Pada tahun ini sahaja kerajaan perlu membelanjakan hampir RM6 billion demi menampung kos pengajian pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara. Setiap pelajar menerima subsidi secara tidak langsung sekitar 70 hingga 80 peratus sehingga mereka menamatkan diploma atau ijazah.

Subsidi bukan setakat itu sahaja. Ia disalur tanpa disedari oleh kebanyakan rakyat samada secara langsung ataupun sebaliknya. Kenaikan tarif elektrik yang diumumkan TNB baru-baru ini juga bukanlah bebanan 100 peratus yang diletakkan di bahu setiap orang, namun ia adalah formula terbaik dalam menyusun semula subsidi yang patut dinikmati secara adil.
Ia distrukturkan menerusi dua jenis penggunaan isirumah iaitu 21.8 sen bagi penggunaan 200kWj pertama sebulan untuk kategori pertama dan bagi penggunaan dari 201kWj sehingga 400kWj dengan caj minimum bulanan serendah RM3.

Dianggarkan hampir 60 peratus purata penggunaan setiap rumah di semenanjung membayar dengan anggaran bil elektrik kurang daripada RM44 sebulan. Dalam penjelasan mudah, kebanyakan peralatan elektrik untuk golongan pertama ialah adalah asas dan yang rasa sedikit terbeban ialah mereka yang memiliki rumah-rumah lebih besar serta menggunakan peralatan elektrik berkonsumpsi tinggi seperti penghawa dingin sistem penggera, pagar elektrik dan lampu yang banyak.

Subsidi seterusnya yang masih perlu ditanggung kerajaan ialah kesihatan... Pada tahun ini sahaja sebanyak RM12.9 billion diperuntukkan untuk subsidi kersihatan di mana jika diterjemahkan dalam bentuk agihan, ia sekitar 98 peratus bagi setiap individu rakyat malaysia.
Purata RM10 billion diperlukan setiap tahun untuk mengekalkan sistem perkhidmatan kesihatan yang kita kecapi selama ini. malah perlu diingatkan, kos ini akan meningkat, sama seperti produk dan perkhidmatan yang lain, namun kadar bayaran hospital awam tidak banyak berubah sejak 20 tahun yang lalu.

Kita mungkin merasa pelik apabila heboh di televisyen bagaimana ibu bapa memberi komen tentang yuran tambahan sekolah yang perlu mereka bayar. Hakikatnya, subsidi telah diberikan pada setiap pelajar yang layak dengan purata RM10,000 setahun. Ini termasuklah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) selain pemansuhan yuran peperiksaan awam dan yuran khas sekolah. Malah sebanyakak RM106.37 juta setahun sebagai tambahan bagi pengecualian pembayaran yuran peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Subsidi adalah satu perkara yang positif jika agihannya mampu membangunkan negara secara saksama. Nelayan masih perlukan subsidi diesel kerana sumber pendapatan mereka adalah di laut. Begitu juga petani dan pemandu teksi.
Jika tiada subsidi untuk perkhidmatan kritikal ini, nescaya teori domino akan lebih cepat berputar. Hari ini minyak naik, lusa tambang teksi berkaliganda. Ikan dan sayuran di pasar juga bermula dengan harga RM10. Sudah tentu tiada siapa yang mahu ia berlaku.

Dalam keadaan yang sukar sekarang ini, sudah sampai masanya subsidi dikaji semula demi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada bentuk bantuan ‘TANPA SEDAR” ini. Pihak kerajaan dan pembangkang perlu duduk semeja dalam mencari formula terbaik untuk mencari jalan keluar. Memang sukar untuk menyeimbangkan semua aspek. Mengekalkan perbelanjaan, mengurangkan subsidi, mengelakkan kenaikan harga barang tetapi dalam masa yang sama menambah atau mengekalkan pendapatan.